Sabtu, April 12, 2008

Herba bantu seimbang paras gula dalam darah

Herba bantu seimbang paras gula dalam darah

GULA adalah ancaman utama kepada kesihatan kita! Ini adalah anggapan umum pada setiap lapisan masyarakat. Golongan tua bimbang dengan paras gula darah mereka kerana risiko diabetes, manakala golongan muda mengaitkannya dengan peningkatan berat badan.

Sebenarnya, gula dalam darah bukanlah sesuatu yang memudaratkan kesihatan kita apabila berada pada paras yang normal kerana kehadiran gula dalam darah adalah 'makanan' utama sel badan kita untuk membekalkan tenaga yang diperlukan. Sedikit peningkatan dan penurunan paras gula adalah normal bagi seseorang yang sihat sepanjang hari.

Bagaimanapun, perubahan paras gula darah yang mendadak boleh mengakibatkan masalah kesihatan yang serius! Masalah ketidakseimbangan paras gula darah adalah keadaan yang mana tubuh kita gagal mengawal glukosa (gula) secara berkesan. Hormon insulin dalam badan berperanan dalam mengawal paras gula darah supaya ia berada dalam julat yang dikehendaki.

Tetapi, dalam ketidakseimbangan gula darah, kedua-dua insulin serta glukosa dalam darah tetap tinggi dan sesetengah sel tetap kekurangan glukosa akibat daripada kegagalan sel bertindak balas dengan insulin secara berkesan.

Selain itu, masalah kekurangan penghasilan insulin juga boleh menyebabkan ketidakseimbangan gula darah berlaku, lalu menyumbang kepada diabetes mellitus. Oleh itu, amat penting bagi kita menangani sebab sebenar agar keadaan tidak menjadi lebih mudarat.

Gejala umum bagi mereka yang mengalami masalah ketidakseimbangan gula adalah selalu menginginkan makanan manis seperti donut dan mengambil kopi, teh atau minuman bergas setiap hari. Mereka juga menginginkan makanan yang manis apabila lapar. Selain itu, mereka sering berasa pening, mudah tersinggung serta berasa letih jika tidak makan untuk beberapa jam saja.

Begitupun, bukan pesakit diabetes saja yang harus prihatin terhadap amalan pengawalan paras gula darah, malah mereka yang mengalami masalah ketidakseimbangan gula darah serta mereka yang obes juga harus mengawasi paras gula darah mereka. Ini kerana apabila paras gula darah berada dalam paras yang tinggi selama beberapa tahun, kerosakan salur darah yang kecil boleh berlaku dan risiko kerosakan saraf, pengurangan ketajaman penglihatan serta penyakit kardiovaskular juga akan meningkat.

Faktor pemakanan dan cara hidup memainkan peranan yang penting dalam mengawalatur paras gula darah. Namun, penggabungan suplemen yang khusus dan perubahan cara pemakanan serta gaya hidup boleh memberi kesan pembaikan yang signifikan bagi kesihatan anda.

Herba tradisi yang sudah lama digunakan untuk mengawal gula darah adalah seperti gymnema, fenugreek, peria dan holy basil. Gymnema (Gymnema sylvestre) yang berasal dari India sudah digunakan sebagai remedi tradisi selama dua ribu tahun untuk merawati penyakit kencing manis.

Gymnena didapati berkesan dalam mengawal paras gula darah dan meningkatkan penghasilan insulin. Selain itu, ia juga boleh meningkatkan aktiviti enzim yang terbabit dalam penggunaan glukosa oleh sel dan pada masa yang sama meningkatkan pengambilan glukosa kepada glikogen dalam hati, ginjal dan otot.

Funugreek, sejenis herba sudah lama digunakan sebagai rempah makanan di negara timur dan Mediterranean. Kandungannya seperti trigoneline, coumarin, musilaj (bahan berlendir) dapat menurunkan paras gula darah. Musilaj itu jika diambil selepas makan akan membentuk lapisan gel yang likat yang melambatkan penyerapan glukosa ke dalam aliran darah.

Kesan sinergi dalam mengawal paras gula darah yang sihat dapat diperoleh dengan menggabungkan kedua-dua herba itu dengan holy basil dan peria. Oleh itu, anda harus memilih produk yang mempunyai kombinasi herba ini untuk memperoleh kesan yang lebih baik


Berita Harian
Khamis, 03/04/2008



1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

BERMINAT TAPI TAKTAU MANA NK CARI REMPAH TUU