Rabu, April 16, 2008

Kapsul pacak beracun

Kapsul pacak beracun

SHAH ALAM: Dengan bermain sandiwara di sebalik aktiviti menjual produk
homeopati terkemuka, sebuah syarikat di Pulau Pinang dikesan
menyembunyikan kegiatan sampingannya mengedarkan ubat perangsang seks
dikenali kapsul pacak ke seluruh negara.

Syarikat terbabit yang beroperasi sejak beberapa tahun lalu turut
dikesan menjadi pembekal produk seks tidak berdaftar itu kepada
beberapa syarikat jualan langsung dengan memperoleh pendapatan
berjuta-juta ringgit.

Syarikat jualan langsung terbabit kemudian mendakwa kepada orang ramai
kononnya ubat berkenaan dihasilkan 100 peratus daripada herba terpilih
yang mampu menambahkan kekuatan seks lelaki.

Kegiatan syarikat itu bagaimanapun berjaya dibongkar sepasukan pegawai
penguat kuasa Bahagian Farmasi Kementerian Kesihatan yang membuat
siasatan berhubung penjualan sejenis kapsul perangsang seks yang
didapati mengandungi racun terkawal sildenafil.

Sumber bahagian itu berkata, dalam serbuan jam 11.30 pagi kelmarin,
pihaknya memeriksa sebuah syarikat jualan langsung terkemuka beribu
pejabat di Petaling Jaya selepas dikesan menjual ubat terbabit secara
sulit kepada pengedarnya.

Menurutnya, pegawai farmasi kementerian sebelum itu menyamar pembeli
melalui tempahan di telefon.

"Malangnya, pekerja syarikat jualan langsung itu tidak melayan
permintaan seperti itu dipercayai bagi mengelak rahsia kewujudan ubat
terlarang itu terbongkar.

"Berikutan itu, satu serbuan serentak di seluruh negara dilakukan
kelmarin bagi mengesan ubat berkenaan yang dijual hanya kepada ahli
VIP berdaftar syarikat jualan langsung itu," katanya.

Menurutnya, siasatan mendapati pekerja syarikat menafikan menyimpan
ubat itu sebelum pemeriksaan menyeluruh dilakukan di premis di
Petaling Jaya berkenaan turut dijadikan stor operasi.

Hasil pemeriksaan membawa kepada penemuan longgokan kotak ubat
terbabit yang disembunyikan di belakang premis berjumlah hampir 4,000
kotak dengan bilangan 10 butir kapsul setiap kotak.

"Difahamkan setiap kotak dijual kepada ahli dengan harga RM100. Ini
satu penipuan kerana senarai pada kotak itu menunjukkan seolah-olah
ubat terbabit hasil adunan herba terpilih seperti ginseng, Tongkat Ali
dan pelbagai herba lain," katanya.

Menurutnya, ubat terbabit jelas digunakan untuk merangsang seks lelaki
apabila panduan penggunaannya mensyaratkan supaya ia dimakan sebiji
sehari sebelum tidur.

"Serbuan sama turut dilakukan di kilang pengeluar ubat itu di Sungai
Petani, Kedah dan Johor Bahru, namun didapati sudah tidak lagi beroperasi.

"Ada kemungkinan syarikat homeopat bertaraf Amalan Pengilang Baik
(GMP) itu membekalkan ubat itu kepada syarikat jualan langsung sebelum
mendapatkan kelulusan MAL daripada Kementerian Kesihatan," katanya.

Pemeriksaan terhadap syarikat homeopati di Pulau Pinang itu mendapati
1,800 ubat terbabit disorokkan di premisnya.

"Kami percaya syarikat berkenaan membekalkan ubat itu kepada syarikat
jualan langsung di Petaling Jaya tetapi pengilang sebenarnya masih
disiasat," katanya.

Pihak mengedar produk seperti itu boleh didakwa mengikut Akta Jualan
Dadah Pindaan 2000 yang sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang
RM5,000 atau dua tahun penjara mengikut Akta Racun 1957 dan denda
antara RM25,000 hingga RM50,000 serta dua tahun penjara.

Pada 10 April lalu, Kementerian Kesihatan mengingatkan orang ramai
supaya jangan membeli atau mengguna sejenis produk tradisional yang
mengandungi bahan terlarang chlorpheniramine yang dikenali sebagai
`Edoly Kapsul'.

Sebelum itu, Pengarah Penguat Kuasa Farmasi KKM, Eisah A Rahman,
menegah pengambilan pil berjenama `Power 1 Walnut' yang dipercayai
dibawa masuk dari China kerana mengandungi racun berjadual,
Glibenclimide dan Sildenafil.

Kedua-dua pil terbabit dianggap berbahaya berikutan pernah menyebabkan
seorang lelaki mati dan berpuluh-puluh lagi mangsa dimasukkan ke
hospital di Singapura kesan dos rawatan diabetes yang terlalu tinggi
manakala dos merawat mati pucuk hanya sedikit digunakan.

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro. com.my