Jumaat, Mei 09, 2008

Tiga langkah kawal penyalahgunaan bahan psikotropik

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan bercadang memperkenalkan tiga langkah pengawalan bagi menangani penyalahgunaan bahan psikotropik di kalangan pengamal perubatan swasta yang jumlahnya semakin bertambah sejak akhir-akhir ini.

Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi, Datuk Che Mohd Zin Che Awang, berkata langkah itu mengenakan tindakan perintah larangan pengamal perubatan berdaftar yang terbabit dengan kesalahan daripada mengendalikan bahan psikotropik dan mewajibkan mereka memiliki kebenaran khas jika ingin membekalkan methadone dan buprenorphine untuk mengatasi masalah penyalahgunaan bahan psikotropik dalam rawatan gantian dadah yang menggunakan kedua-dua bahan itu.

"Kementerian juga akan meminta pihak Majlis Perubatan Malaysia (MMC) mengenakan tindakan disiplin yang lebih berat terhadap pengamal perubatan yang melakukan kesalahan itu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kementerian sudah menjalankan audit terhadap klinik swasta bagi mengenal pasti pengamal perubatan yang melanggar peraturan di bawah Peraturan 3, Peraturan-Peraturan Racun (Bahan Psikotropik) 1989.

Katanya, pada tahun lalu sebanyak 108 klinik swasta sudah diaudit dan daripada jumlah itu 31 buah atau 29 peratus disiasat kerana disyaki melanggar peraturan berbanding cuma 19 yang disiasat dalam tahun sebelumnya.

"Sebahagian besar kesalahan yang dikenal pasti ialah kegagalan menyelenggarakan daftar preskripsi bahan psikotropik sebagaimana yang diperuntukkan di bawah peraturan yang ditetapkan," katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta pengamal perubatan swasta berdaftar supaya mematuhi peraturan ketika mengendalikan bahan psikotropik bagi mengelakkan tindakan yang lebih berat. - Bernama

http://www.bharian.com.my