Isnin, April 07, 2008

Salah wanita terlampau ingin jadi cantik


Salah wanita terlampau ingin jadi cantik
Oleh: NIK SALIDA SUHAILA NIK SALEH

Fakta menakutkan yang didedahkan oleh Presiden Pertubuhan Terapi Kecantikan Malaysia bahawa sekurang-kurangnya 15 kes dilaporkan setiap tahun membabitkan wanita yang bertukar wajah menjadi hodoh selepas menjalani rawatan di pusat kecantikan agak menginsafkan betapa susahnya menjadi cantik. Sebab itulah ramai yang reda dengan anugerah Tuhan, terima seadanya dan bersyukur!

Sebenarnya semua manusia secara fizikalnya dilahirkan cantik, cuma mereka menjadi hodoh apabila kecantikan itu tidak diterapikan dengan budi bahasa, sopan santun dan akhlak yang molek. Malangnya tidak ramai yang risaukan kehodohan ini walaupun ia nampak jelas dan nyata.

Kemunculan pelbagai produk dan jenama kecantikan yang berlambak kepada wanita negara ini adalah petanda bahawa pasaran di sini menjadi. Wanita sedaya upaya cuba menjaga kesihatan badan dan wajah agar sihat dan cantik. Ramai yang mencuba dan mereka terasa perubahannya, kalau tidak tentulah tidak ramai jutawan kosmetik.

Cuma masalahnya, ada yang tidak sabar menunggu dan melakukan pembedahan agar segera cantik. Inilah yang diambil peluang oleh sesetengah 'pakar' kecantikan untuk meyakinkan pengguna tentang kebolehan masing-masing.

Tidak cukup dengan produk yang dijual tanpa lesen, mengaku pula seorang doktor dan profesor kecantikan yang tidak pula dinyatakan dari universiti mana. Maka berlakulah pelbagai komplikasi dan kesan buruk yang menyebabkan pengguna menyesal seumur hidup.

Pelbagai jenis ubat-ubatan dan cairan yang ditawarkan untuk 'memujuk' pengguna walaupun pemilik pusat kecantikan tidak layak menjualnya. Ada pembekal yang mendakwa cecair maut, iaitu cecair vitamin C di kilang di beberapa negara Eropah termasuk Perancis dan Sepanyol. Produk berkenaan bukan saja dianggap sebagai agen pemutihan yang berkesan malah dikatakan mampu menegangkan kulit, melambatkan proses penuaan sekali gus menjadikan kulit awet muda.

Walaupun suntikan terbabit belum mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan namun, sebagaimana masyhurnya produk pengelupasan kulit yang mengandungi bahan pemutihan hydroquinon suatu ketika dulu, masih ada pengguna yang tidak menghiraukan keselamatan masing-masing.

Di Malaysia, memiliki produk tidak berdaftar untuk jualan atau bekalan adalah salah mengikut Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984. Denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak lebih lima tahun bagi kesalahan kedua dan berikutnya sekiranya sabit kesalahan.

Rang Undang-Undang Akta Kosmetik pula antara lain memerlukan pemilik pusat kecantikan yang tidak berkaitan dengan bidang perubatan supaya berdaftar dengan kementerian di samping menyelaraskan kriteria kelayakan untuk mereka yang mahu menjalankan pusat kecantikan.

Ini amatlah penting berdasarkan perkembangan industri kecantikan negara ini yang menjangkau 15 peratus setiap tahun. Malahan, pada tahun 2005 sahaja industri berkenaan mencatatkan perolehan pasaran sebanyak RM3.5 bilion. Sehingga kini, dianggarkan ada kira-kira lebih 20,000 spa, pusat kecantikan dan pusat pelangsingan yang beroperasi di negara ini.

Promosi 'pelancongan kesihatan' yang mengalu-alukan kedatangan pelancong asing ke negara ini untuk mendapatkan rawatan kecantikan tentunya tidak ke mana jika keadaan ini berlarutan. Adalah penting untuk memastikan apa-apa prosedur kecantikan dan pembedahan perlu mendapatkan kelulusan serta doktor atau pakar terapi hakikatnya perlu dilatih dan mahir untuk mengendalikan tugas tersebut.

Yang paling penting, pengguna perlu sayangkan wajah yang dianugerahkan Tuhan ini dan katakan 'tidak' kepada suntikan atau pembedahan untuk cantik melainkan kepada yang cacat lebih-lebih lagi jika perubahan anggota badan itu dalam bentuk yang kekal dan menipu orang ramai kerana kepada Muslim, matlamat tidak akan menghalalkan cara!

- PENULIS ialah Pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia.


Utusan Malaysia

Jumaat, 04/04/2008




Kesihatan Gigi Kita- Menggunakan Flos

Mungkin ramai lagi yang belum sedar bahawa dengan hanya memberus gigi tidak cukup untuk membersihkan gigi mereka. Menggunakan flos dapat membantu menjaga kebersihan gigi. Ia dapat mengeluarkan sisa makanan dan plak gigi yang melekat di antara gigi yang tidak boleh dibersihkan ketika memberus gigi.

Ada beberapa jenis flos gigi :

  • Flos berlilin atau tanpa lilin.
  • Flos berperisa atau tanpa perisa.
  • Pita gigi.
  • Super flos.

Kesemua jenis flos yang dinyatakan di atas berkesan untuk membersihkan gigi jika anda menggunakan flos dengan teknik yang betul. Biasakan amalan menggunakan flos sekurang-kurangnya sekali sehari terutama sebelum tidur.

Untuk menggunakan flos dengan betul ikutilah langkah-langkah berikut :

  • Lilitkan sepanjang 18 inci flos di jari hantu dan pegang bahagian 1 inci dengan tegang.
  • Arahkan flos dengan lembut di celah gigi anda.Gerakkan ke atas dan ke bawah beberapa kali dan lengkokkan keliling gigi dan tepi garisan gusi.
  • Gunakan flos untuk membersih gigi belakang yang akhir.
  • Buka flos yang bersih dari lilitan jari dan teruskan membersih gigi.
  • Anda mesti menggunakan cara pergerakan yang betul. Teknik yang salah akan menyebabkan kecederaan pada gusi.
  • Anda mungkin mengalami kesakitan atau pendarahan di bahagian gusi ketika mula menggunakan flos. Jika pendarahan masih berlaku selepas seminggu menggunakan flos, berjumpalah dengan doktor pergigian.
Mudah kan?