Jumaat, April 11, 2008

Anak anda tercekik?

Selalu kan kita dengar kanak-kanak tercekik terutama disebabkan oleh barang mainan yang kecil-kecil yang selalunya muat untuk si kecil masukkan ke dalam mulut mereka. Tercekik adalah salah satu sebab kematian yang tidak disengajakan di kalangan kanak-kanak. Saluran pernafasan dan tenggorok yang sempit menyebabkan mereka berisiko untuk tercekik.

tercekik

Ketika tercekik, salur pernafasan dan tenggorok yang tertutup akan menghalang oksigen ke paru-paru dan seterusnya ke otak. Ini akan menyebabkan kematian. Sebarang objek bersaiz kecil boleh menyebabkan tercekik. Ini termasuklah bahan makanan, perkakasan rumah dan alat permainan.

Antara tanda-tanda tercekik adalah kanak-kanak mungkin akan mengalami:

  • Sesak nafas secara tiba-tiba.
  • Bunyi nafas tidak normal (bunyi seperti siulan).
  • Menggenggam kerongkong.
  • Kawasan mulut dan bibir kebiru-biruan. .
  • Bernafas dengan cepat.
  • Lubang hidung mengembang setiap kali bernafas.
  • Pengsan.
  • Berhenti bernafas.

Kadang kala kanak-kanak akan tersedak (seperti kacang tanah) jika objek tersebut sangat kecil. Mereka akan mengalami :

  • Batuk yang berterusan.
  • Termengah-mengah.
  • Tiada tanda.(kadang-kadang si kecil ni akan diam saja selepas tercekik)

Kalau anak anda tercekik janganlah diambil ringan saja kerana tercekik ni boleh membawa kepada beberapa komplikasi seperti:
  • Jangkitan pada paru-paru seperti radang paru-paru.
  • Kerosakan otak akibat kekurangan oksigen.
  • Kematian akibat radang/ bengkak paru-paru yang teruk atau kekurangan oksigen ke otak.

Langkah-langkah jika anak anda tercekik :

  1. LAKUKAN :
    • Tunggu sehingga mangsa batuk.
    • Minta bantuan.
    • Buka mulut mereka perlahan-lahan - keluarkan objek jika jelas kelihatan.
    • Jika tidak berjaya, tepuk di antara tulang belikat mangsa dengan tapak tangan anda dengan kedudukan kepala mangsa lebih rendah dari badan (links CPR).

  2. JANGAN :
    • Masukkan jari anda ke dalam mulut mangsa.
    • Mendongakkan kepala mangsa.
Jika mangsa berhenti bernafas, pengsan dan badan menjadi biru, segera lakukan Kaedah Pemulihan Pernafasan (CPR) sementara menunggu bantuan pakar.


BAGI KANAK-KANAK DEWASA

  • Bantu kanak-kanak untuk berdiri jika mereka masih sedar.
  • Posisikan badan anda di belakang mereka.
  • Lakukan Heimlich Manouvre.
Jika kanak-kanak pengsan laksanakan Kaedah Pemulihan Pernafasan (CPR).

Memang betul pepatah ada mengatakan malang tu tidak berbau tapi sebagai ibu bapa yang perihatin kita dapat cegah perkara seperti ini dari berlaku, contohnya:

  • Jangan benarkan anak anda makan ketika bermain.
  • Sediakan makanan dalam bentuk saiz kunyahan.
  • Pastikan lantai, meja dan tempat mereka bermain bebas dari objek-objek yang kecil seperti butang, guli, duit syiling, pin dan manik-manik.
  • Elakkan makanan yang mudah tercekik bagi kanak-kanak seperti kacang tanah, gula-gula dan bertih jagung.
  • Elakkan memberi alat permainan yang mempunyai bahagian-bahagian yang kecil kepada kanak-kanak.
  • Pelajari bantuan kecemasan dan langkah-langkah yang patut dilakukan jika anak anda tercekik.

Sindrom Tourette: Jangan Hukum Mereka

“Kamu boleh tak jangan buat bunyi macam tu?”, tengking seorang wanita kepada anaknya.

Matanya berkelip-kelip. Sesekali beliau mendengus dengan bunyi yang mengganggu. Seperti cengkerik pun ada.

Geram juga si ibu melihat gelagat anak-anaknya. Dah jadi tabiat pula. Makin lama makin menjadi.

Pada si ibu, mungkin anaknya mengada-ngada. Kalau tinggi daya imaginasi, mula pula berfikir di mana silapnya semasa melahirkan anak ini? Ada cengkerik di alang rumah?

Mungkin tidak terlintas langsung di fikiran ibu remaja ini, bahawa anaknya mengidap SINDROM TOURETTE!

Pengidap sindrom Tourette ini juga sering diejek oleh kawan-kawan, atau kadang-kadang terus dibenci begitu sahaja. Mengganggu! Itu yang lazim dilabel kepada mereka. Bukan sahaja dibenci kawan-kawan, malah boleh juga dibenci oleh ibu bapa sendiri, andai mereka tidak memahami atau lupa kepada kehendak Ilahi.

Tetapi menonton video klip tentang bagaimana masyarakat Barat mendidik kanak-kanak untuk mengenal dan memahami Sindrom Tourette ini, sungguh menyentuh hati saya.

You need to a flashplayer enabled browser to view this YouTube video

Dari segi definisi, Tourette syndrome (also called Tourette’s syndrome, Tourette’s disorder, Gilles de la Tourette syndrome, GTS or, more commonly, simply Tourette’s or TS) is an inherited neurological disorder with onset in childhood, characterized by the presence of multiple physical (motor) tics and at least one vocal (phonic) tic; these tics characteristically wax and wane. Tourette’s is defined as part of a spectrum of tic disorders, which includes transient and chronic tics. [wikipedia]

Ia boleh difahami sebagai masalah saraf yang diwarisi sejak usia kanak-kanak yang muncul dalam bentuk beberapa kenan fizikal, dan sekurang-kurangnya satu kenan vokal. Mudahnya, orang Melayu menggelar penyakit ini dengan subjek utamanya iaitu KENAN.

Tentu sahaja, jika kenan ini hanya pada beberapa pergerakan fizikal kecil yang tidak terkawal, maka ia tidaklah begitu menjejaskan kehidupan pesakit. Tetapi jika ia sampai ke satu peringkat yang kronik dan bertambah buruk dari semasa ke semasa, ia amatlah menyeksa pesakit, juga keluarga.

Sebagai contoh, tontonlah video klip dari UK ini untuk melihat betapa teruknya kesan Sindrom Tourette ini kepada remaja yang sedang meningkat dewasa:

You need to a flashplayer enabled browser to view this YouTube video

Saya teringatkan Sindrom Tourette ini, apabila isteri saya berkongsi cerita tentang pengalamannya berdepan dengan pesakit yang mengalami hal ini. Syukur Alhamdulillah pesakit tersebut mempunyai keluarga yang amat membantu. Saya tidak tahu berapa ramai pesakit seperti ini yang dihukum dengan kebodohan lantas diabaikan begitu sahaja di dalam masyarakat.

PENTINGNYA PENDIDIKAN

Inilah pentingnya pendidikan. Lebih berpendidikan masyarakat kita, lebih banyaklah masalah yang dapat dikenal pasti dan dirawat. Terdahulu saya pernah menulis tentang nasib anak murid saya di Belfast yang mengidap masalah dyslexia. Begitu juga dengan masalah Autism yang menjadi ujian kepada beberapa orang kenalan saya apabila anak-anak mereka mengidap sindrom ini.

Saya pernah menghantar email ke rancangan Medik TV di TV3 supaya lebih menumpukan subjek kepada mendidik masyarakat, berbanding mempamerkan kepakaran doktor pakar, yang tidak begitu bermanfaat untuk diketengahkan. Siapakah yang ada mempertikaikan kepakaran mereka? Lantas apa yang diperlukan adalah mendidik masyarakat. Melainkan rancangan tersebut lebih bertujuan untuk mempromosikan hospital yang menajanya, berbanding dengan maksud mendidik masyarakat.

RTM ada menghasilkan rancangan yang boleh saya kategorikan sebagai mendidik. Saya juga pernah muncul di dalam rancangan ini untuk memperkatakan tentang pandangan Islam tentang pendermaan darah tali pusat. Akan tetapi rancangan ini disiarkan pada pukul 10 pagi, hari Isnin. Hanya surirumah sahaja yang menontonnya hingga saya sendiri kurang ingat dengan tajuk rancangan tersebut.

Email saya ke Medik TV tidak mendapat apa-apa maklum balas.

Kefahaman masyarakat tentang penyakit-penyakit, mengenal pasti sindrom dan tahu berkenaan dengan apa tindakan yang patut diambil, akhirnya akan memudahkan lagi kerja pihak hospital.

KEPELIKAN MASYARAKAT

Sehingga kini, masyarakat masih lagi mengamalkan beberapa kepelikan yang menyusahkan. Misalnya, apabila berlaku kemalangan yang serius, masih menjadi kecenderungan majoriti masyarakat untuk membawa mangsa ke klinik, dan bukannya terus ke hospital. Manakala ramai pula pesakit yang selepas beberapa hari sukar membuang air besar, atau demam panas semalaman, datang ke jabatan kemalangan dan kecemasan sedangkan kes yang dirujuk bukan kemalangan dan langsung tidak mencemaskan.

Masih ramai lagi masyarakat kita yang percaya bahawa tindakan mengambil ‘air tulang belakang’ menandakan yang pesakit itu sudah terlalu teruk dan menunggu masa untuk mati. Maka biasalah kedengaran, saudara mara berpesan, bila masuk ke hospital jangan sekali-kali benarkan doktor mengambil air tulang belakang! Sedangkan ia hanyalah prosedur Lumbar Puncture yang sepatutnya tidak memberikan apa-apa kesan negatif kepada pesakit.

Malangnya, pertimbangan itu sukar untuk diperbetulkan.

Mengapa hal ini berlaku? Ia berkait rapat dengan pendidikan.

DAPATKAN BANTUAN

Berbalik kepada soal sindrom Tourette, saya ingin mengambil peluang untuk menghulurkan sokongan saya kepada anda, dan dapatkanlah sokongan daripada persatuan seperti Tourette Syndrome Awareness Malaysia atau dengan merujuk kepada hospital berdekatan.

Bagi ibu bapa yang berdepan dengan anak-anak yang ada ciri-ciri seperti yang saya sebutkan di atas, janganlah dimarah atau dibenci anak-anak itu. Dapatkanlah bantuan seawal yang mungkin, kerana dengan sokongan pendidikan dan mungkin juga perubatan, anak-anak ini boleh hidup seperti orang lain.

Jangan sekali-kali berasa malu untuk mendapatkan bantuan. Sikap cuba menafikan realiti akan menjadi musibah kepada masa depan si anak yang tidak pernah meminta dilahirkan sedemikian rupa.

I have Tourette’s but Tourette’s doesn’t have me!


ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur