BOCOR lagi! Sedang anda ketawa melihatkan sesuatu yang lucu, tiba-tiba terasa seluar menjadi basah. Ini juga bukan kali pertama kerana kejadian serupa berlaku setiap kali anda batuk, bersin, melompat atau berlari.
Perasaan yang kuat untuk membuang air kecil juga sering datang secara tiba-tiba sehinggakan anda ‘bocor' lagi sebelum sempat sampai ke bilik air.
Kerap kali pula anda perlu bangun berulangkali pada waktu malam kerana perlu membuang air kecil.
Mungkin ramai berfikir semua ini tidak pelik bagi warga emas, tetapi bagaimana pula jika mereka yang di pertengahan usia atau masih muda remaja?
Pada usia 50-an mungkin kejadian ‘terkucil’ lebih banyak berlaku berbanding mereka pada usia 40-an.
Tetapi bagaimana pula jika ia berlaku kepada mereka yang berusia 30-an, 20-an atau masih berusia remaja?
Tidak dapat mengawal keinginan membuang air kecil bukan sesuatu yang normal, terutamanya bagi golongan dewasa.
Berbeza dengan kencing malam (ketika tidur), masalah ini lebih melibatkan kemampuan diri mengawal pundi kencing (ketika berjaga) apabila datangnya keinginan mendadak untuk membuang air kecil.
Keupayaan mengawal pundi kencing, iaitu dapat menahan keperluan ke tandas sehingga masa dan tempat sesuai, biasanya dibentuk antara usia dua hingga enam tahun apabila kanak-kanak dilatih mengawal keinginan ke tandas.
OAB
Pundi kencing mempunyai dua fungsi iaitu mengumpul dan membuang air kencing.
Air kencing (bahan kumuhan) dari buah pinggang akan terkumpul di dalam pundi kencing.
Dinding pundi kencing akan diregangkan dengan perlahan-lahan bagi membolehkannya menampung sejumlah antara satu hingga dua liter cecair setiap hari.
Kebanyakan orang akan ke tandas apabila pundi kencing diisikan dengan kira-kira 250 mililiter air kencing (separuh penuh).
Ini bermakna seseorang itu akan membuang air kecil tidak lebih lapan kali setiap hari walaupun setiap individu mempunyai kekerapan ke tandas yang berbeza.
Otot pundi kencing akan mengecut dan air kencing dikosongkan melalui pembukaan salur uretra.
Mekanisme otot sfinkter uretra yang normal memastikan air kencing tidak bocor walaupun ketika ketawa, batuk, bersin, melompat atau berlari.
Masalah Pundi kencing Terlalu Aktif atau Overactive Bladder (OAB) merupakan antara kumpulan Gejala Salur Bawah Sistem Perkumuhan (LUTS) yang kadangkala tidak dianggap sebagai suatu masalah kesihatan tetapi diterima pula sebagai sesuatu yang normal di kalangan warga tua.
Profesor Dr. Sender Herschorn, Pengerusi Bahagian Urologi Universiti Toronto, Kanada menjelaskan, OAB adalah keadaan di mana pesakit mendapat perasaan yang kuat dan mendadak untuk membuang air kecil sehingga kadangkala gagal mengawal diri.
"Selain itu, pesakit OAB juga lebih kerap ke tandas (lebih lapan kali dalam 24 jam) dan juga sering bangun malam kerana terpaksa membuang air kecil (nokturia).
"Namun, masalah ini juga mungkin berkaitan dengan masalah lain seperti jangkitan kuman, obesiti, kemurungan, diabetes, asma atau darah tinggi," katanya.
Beliau mendakwa kira-kira 60 peratus golongan dewasa mengalami nokturia tetapi dianggap normal jika ianya berlaku sekali sekala dan tidak lebih sekali dalam satu malam.
OAB merupakan masalah melibatkan takungan air kencing di dalam pundi kencing serta keinginan yang teramat kuat untuk membuang air kecil. Ini juga menjadi asas utama untuk mengsyaki pesakit menghidap penyakit berkenaan.
Selain itu, nokturia, kekerapan membuang air dan kegagalan menahan air kencing sehingga terkeluar turut menjadi faktor sokongan untuk diagnosis OAB.
Menurut Dr. Herschorn, Kajian Penilaian Pundi Kencing Terlalu Aktif Kebangsaan (NOBLE) Amerika Syarikat mendapati OAB mempengaruhi 16.6 peratus penduduk negara berkenaan dan bilangan kes meningkat mengikut usia pesakit.
"Satu lagi kajian yang dikenali sebagai EPIC di Kanada, Jerman, Itali, Sweden dan United Kingdom mendapati 11.8 peratus daripada 19,165 peserta tinjauan menghidap OAB.
"Kedua-dua kumpulan lelaki dan wanita melaporkan gejala OAB mengganggu kehidupan seharian mereka dan memberi kesan kepada kualiti hidup," ujarnya.
Kata beliau, selain NOBLE dan EPIC, terdapat juga beberapa kajian di rantau Asia yang merekodkan 12.2 peratus penduduk Korea dengan OAB, 12.4 peratus di Jepun sementara negara-negara lain di rantau ini dianggarkan mempunyai antara 12 hingga 13 peratus penduduk dengan OAB.
Kesan dan kos
Masalah hilang kawalan pundi kencing ini mempengaruhi berjuta orang di seluruh dunia, tidak kira jantina dan umur.
Masalah ini mungkin memalukan bagi kebanyakan pesakit sehingga menyebabkan mereka mengehadkan banyak aktiviti harian dalam kehidupan.
Mereka juga terpaksa merancang perjalanan jauh dengan lebih rapi untuk memastikan terdapat tandas dalam jarak tertentu dan mungkin lebih gemar untuk duduk di rumah kerana takut terkencing di khalayak ramai.
Kajian di Korea turut menunjukkan kaitan antara masalah pundi kencing dengan fungsi seksual lelaki dan wanita, yang telah lama dikaitkan dengan masalah LUTS lain seperti masalah prostat, otot sokongan pelvis (pelvic floor) dan jangkitan kuman dalam sistem perkumuhan.
Masalah ini juga memberi kesan kepada produktiviti pekerjaan, ekonomi negara dan juga kos perubatan.
Pekerja yang mengalami masalah ini mungkin tidak selesa ketika bekerja, perlu mengambil cuti untuk berjumpa doktor dan perlu mendapatkan ubat atau produk tertentu untuk membantu mengawal gejala OAB.
Masalah salur perkumuhan dianggarkan telah menyebabkan kerugian antara €257 juta (RM1.22 bilion) di Kanada, hingga €5 bilion (RM23.65 bilion) di Jerman sepanjang 2006.
Pada tahun 2000, kos keseluruhan untuk masalah salur perkumuhan dianggarkan berjumlah €4.2 bilion (RM19.86 bilion) di lima negara Eropah dan di antara €255 juta (RM1.21 bilion) di Sweden, hingga €1.4 bilion (RM6.62 bilion) di Itali.
Secara keseluruhan, tahun 2000 mencatatkan kerugian ekonomi berjumlah AS$12.02 bilion (RM38.72 bilion), AS$9.17 bilion (RM29.54 bilion) terhadap masyarakat dan AS$2.85 bilion (RM9.18 bilion) kepada pelbagai institusi.
Diagnosis dan rawatan
Bagi pesakit yang berkemungkinan menghidap OAB, doktor akan mengambil sejarah tabiat membuang air kecil terlebih dahulu.
Selain itu, ujian fizikal terhadap pundi kencing dan bahagian abdomen dilakukan untuk melihat jika terdapat penyakit lain yang menjadi punca masalah berkenaan.
Ujian fizikal dapat menunjukkan jika terdapat prolaps (kejatuhan) organ tertentu, masalah prostat atau masalah otot pelvic floor.
Pesakit juga akan diberikan borang soal selidik, menjalani analisis air kencing dan beberapa ujian lain untuk diagnosis dan rawatan lanjut.
Borang soal selidik berkenaan memerlukan pesakit merekodkan jenis dan jumlah pengambilan cecair serta kekerapan membuang air kecil dalam tempoh tiga hari.
Ini dapat mengasingkan kes yang berpunca daripada pengambilan minuman berkafein (teh, kopi) dan alkohol yang menggalakkan pesakit membuang air kecil (diuretik).
Dr. Herschorn menyatakan diagnosis memerlukan pengasingan punca-punca lain yang boleh membawa kepada OAB sebelum pesakit disahkan menghidap penyakit berkenaan, sama ada OAB sahaja atau OAB dengan masalah sampingan.
"Gejala berkaitan dengan OAB adalah kompleks terutamanya jika ia melibatkan masalah kesihatan lain.
"Golongan lelaki mungkin menghadapi penyakit ini akibat daripada masalah prostat sementara wanita akibat masalah otot pelvic floor," jelasnya.
Kata beliau, pesakit yang mengadu terlalu kerap kencing (siang atau malam) pula mungkin hanya perlu mengubah cara hidup seperti jenis minuman, masa (seperti minum minuman berkafein sebelum tidur) dan jumlah pengambilan cecair harian dari minuman dan makanan.
Dr. Herschorn menegaskan pesakit yang menghidap OAB tidak perlu menyembunyikan diri dan mengelakkan daripada menghadapi masalah berkenaan.
"Tidak perlu malu untuk memaklumkan atau membincangkan masalah ini bersama ahli keluarga dan doktor anda.
"Selain lampin dewasa, terdapat juga ubat dan senaman tertentu (menguatkan otot-otot lemah) yang dapat mengurangkan masalah yang timbul dengan gejala penyakit ini," katanya.
Beliau menjelaskan, pengambilan ubat bersama perubahan cara hidup didapati amat berkesan dalam meningkat kualiti hidup pesakit OAB.
Tambahnya, senaman dan ubat mungkin tidak dapat menyembuhkan sepenuhnya penyakit berkenaan tetapi sekurang-kurangnya dapat mengurangkan masalah gejala OAB yang mengganggu kehidupan seharian.
Antara pilihan rawatan untuk OAB adalah terapi tingkah laku, ubat, terapi gabungan, terapi invasif minimum dan pembedahan.
Terapi tingkah laku melibatkan perubahan pada cara hidup seperti latihan menahan pundi kencing (tahan kencing) dan terapi otot pelvic floor (PFMT).
Terapi tingkah laku yang digabungkan dengan pengambilan ubat dilihat lebih berkesan daripada penggunaan salah satu terapi sahaja.
Dr. Herschorn menjelaskan perasaan kuat dan mendadak untuk membuang air kecil berlaku apabila berlakunya kekejangan otot pundi kencing.
"Ubat-ubat yang digunakan berfungsi menghalang isyarat dari otak ke pundi kencing dan menghentikan kekejangan tersebut seterusnya membolehkan pundi kencing menakung lebih banyak air kencing.
"Ubat tidak akan menghilangkan sepenuhnya gejala OAB tetapi dapat membantu mengurangkan kesannya dan mengawal masalah ini ketika meneruskan aktiviti harian," ujarnya.
Pengambilan ubat tertentu mungkin juga membawa kesan sampingan kepada pesakit di samping kemungkinan interaksi antara ubat OAB dengan ubat untuk penyakit lain.
Pesakit perlu mengambil ubat mengikut arahan doktor dan bertanyakan mengenai interaksi antara ubat yang diambil.
Sedar dan bertindak
Bagi mereka yang menunjukkan gejala OAB, perlu disedari terdapat rawatan tertentu untuk masalah ini.
Segera berbincang dengan doktor. Anda tidak perlu hidup dengannya dan ia bukan hanya dihidapi golongan warga tua.
Buat masa ini, 64 peratus daripada mereka yang menunjukkan gejala OAB tidak menerima sebarang rawatan di atas sebab-sebab tertentu.
Kebanyakan pesakit OAB dengan masalah kesihatan lain pula enggan untuk ‘menambah’ lagi pil untuk masalah-masalah kesihatan mereka.
Perasaan kuat dan mendadak untuk membuang air kecil bukan sesuatu yang normal.
Buangkan rasa malu untuk mendapatkan rawatan segera dan meningkatkan semula kualiti hidup anda.
Perhatikan gejala-gejala berikut dan jika anda mengalaminya, dapatkan nasihat pakar perubatan:
* ke tandas dengan kerap (lebih lapan kali dalam 24 jam)
* kerap merasai keinginan yang kuat dan secara tiba-tiba untuk membuang air kecil
* kebocoran air kencing (tidak tahan, hilang kawalan)
* kebocoran air kencing ketika ketawa, batuk, bersin, melompat atau berlari
* Kerap bangun malam untuk membuang air kecil (nokturia).
Elakkan juga minuman berkafein, terutamanya hampir dengan waktu tidur bagi mengurangkan kekerapan membuang air kecil.
Air kosong atau jus buah sesuai dijadikan ganti untuk diminum pada bila-bila masa.
Bagi warga emas, jangan sekat keperluan cecair harian badan anda.
Usia lanjut bermakna badan memerlukan sejumlah cecair yang cukup untuk fungsi organ-organ badan di samping mengelakkan sembelit teruk.
Jika anda mahu mengurangkan pengambilan minuman, tetapkan berhenti minum sekitar pukul enam petang atau beberapa jam sebelum tidur.
Antara jenis ubat yang digunakan untuk OAB adalah:
* Oxybutynin;
Ubat yang paling lama digunakan untuk rawatan penyakit ini, diambil tiga kali setiap hari. Boleh memberi kesan kepada bahagian badan lain, menyebabkan mulut kering. Pesakit dengan glaukoma penglihatan sempit tidak boleh menggunakan ubat ini kerana mempunyai kesan kepada mata. Banyak kesan sampingan, 90 peratus pesakit berhenti mengambil ubat ini selepas satu tahun.
* Propiverine;
Diambil dua kali setiap hari, hanya boleh didapati di Asia dan Eropah.
* Trospium;
Telah 20 tahun berada di pasaran, buatan Jerman, diambil dua kali setiap hari, belum terdapat di Malaysia.
* Tolterodine;
Berkesan merawat gejala yang timbul, kurang kesan sampingan, diambil hanya sekali setiap hari.
* Toksin Botulinum;
Melumpuhkan pundi kencing untuk sementara waktu, disuntik terus ke beberapa bahagian pundi kencing oleh pakar urologi, belum diluluskan sebagai cara rawatan untuk OAB (off label), tidak sesuai untuk kebanyakan pesakit.
* Solifenacin;
Boleh menyebabkan sembelit.
* Darifenacin;
Boleh menyebabkan sembelit.
Untuk maklumat lanjut mengenai OAB, sila layari laman web Pfizer, www.pfizer.com. my atau melalui talian bebas tol OAB Pfizer 1 800 88 2833.